Sejarah Keluarga Sebelah Ibu | Mustaffa bin Abd Wahid

Mustaffa bin Haji Abd Wahid adalah seorang suami yang disayangi, juga bapa kepada empat orang adik-beradik iaitu Siti, Simat, Tafari dan Khanipah. Beliau berasal dari kawasan barat Pelutan (Pelutan Kulon), sebuah kelurahan (kampung) dalam kabupaten (daerah) Pemalang dalam provinsi Jawa Tengah, Indonesia. Beliau adalah seorang usahawan berjaya yang memiliki sebuah kilang kain batik di perkampungannya. Perniagaannya berjalan dengan baik dan mereka hidup dalam keadaan yang agak selesa.

Namun, takdir Allah tiada siapa yang dapat menduga mahu pun menahannya. Isteri yang dicintai suami, bonda yang disayangi empat beradik telah terlebih dahulu dijemput menemui Ilahi. Walau bahagia masih ada tetapi terasa kekosongan yang dialami oleh Mustaffa, telah menyebabkan tumpuan terhadap perniagaannya mula merosot lalu pendapatannya juga berkurangan.

Demi menyara keempat-empat orang anaknya, Mustaffa perlu berusaha lebih gigih lagi namun kesedihan tidak dapat dibendung lebih-lebih lagi apabila berada di kilang yang menjadi mata pencarian mereka berdua. Ikhtiar yang paling baik ketika itu adalah berhijrah ke tempat lain. Tempat yang tiada langsung kenangan bersama arwah isterinya. Lalu Singapura menjadi sasarannya.

Kemudian pada sekitar tahun 1916, setelah keputusan adalah muktamad; setelah segala urusan berkaitan pengurusan kilang kain batiknya diserahkan kepada salah seorang ahli keluarga, Mustaffa sekeluarga dengan ditemani beberapa orang saudara terdekat dan rakan taulan telah berlayar meninggalkan tanah kelahiran, meredah lautan luas menuju ke Singapura. Perjalanan yang dibiayai sendiri itu punya satu matlamat iaitu untuk mencari rezeki yang halal.

Setelah beberapa ketika tinggal dan bekerja di Singapura, mereka dikhabarkan bahawa terdapat sebuah ladang yang baru dibuka di Tanah Melayu. Ladang Jementah yang juga dikenali sebagai Ladang Chi Liung menjanjikan peluang pekerjaan yang banyak.

Selain peluang pekerjaan, ladang tersebut turut menyediakan kemudahan pengangkutan kepada yang kurang mampu dengan syarat mereka mesti mengikat kontrak sebagai pekerja untuk satu tempoh yang panjang sehingga kos perjalanan mereka dilunaskan. Pekerja yang terikat dengan kontrak ini juga dikenali sebagai ''buruh kontrak''.

Yakin dengan perkhabaran tersebut, Mustaffa sekeluarga dan beberapa orang rakan berhijrah sekali lagi, kali ini menuju ke Jementah. Masih dengan tekad dan azam yang sama iaitu untuk mencari penghidupan yang lebih terjamin. Kos perjalanan ini juga ditanggung sendiri.

Kehidupan sebagai seorang buruh biasa di Ladang Jementah, sedikit sebanyak memberikan ketenangan dan harapan. Mustaffa yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang agama Islam juga mempunyai budi pekerti yang sangat baik. Peribadinya amat disenangi dan disegani oleh rakan-rakan pekerja yang lain. Ketokohan dalam bidang agama amat ketara sehingga beliau dilantik sebagai imam di ladang tersebut.

Mustaffa yang lebih mesra dengan panggilan ''Pak Kiai'' atau ''Kiai Mustaffa'' di kalangan rakan-rakan pekerja, telah dibukakan hatinya oleh Allah untuk menerima wanita lain sebagai pengganti arwah isteri yang telah terlebih dahulu menemuiNya. Lalu janji Allah pun terlaksana apabila Kiai Mustaffa sanggup menerima Katirah binti Masiran sebagai isteri. Katirah binti Masiran juga dikenali dengan nama Karsono. Dalam kalangan keluarga nama Wak Sono atau Embah Sono paling popular.

Setelah beberapa tahun tinggal dan bekerja di Ladang Jementah sebagai buruh biasa, Kiai Mustaffa akhirnya membuat keputusan untuk mengubah status dirinya dari seorang buruh ladang (yang bekerja keras untuk orang lain) kepada seorang petani yang hidup di atas tanah miliknya sendiri. Berbekalkan tekad dan semangat serta tulang empat kerat, Kiai Mustaffa sekeluarga bersama-sama beberapa orang rakan seperjuangan, telah meninggalkan Ladang Jementah dan berusaha sediri sedaya mungkin meneroka kawasan hutan belukar berhampiran ladang tersebut (iaitu kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai Kampung Bukit Tunggal dan Kampung Pulau Jering) untuk dijadikan kebun getah dan sawah padi yang subur.

Kampung Pulau Jering

Mustaffa bersama-sama isteri dan anak sulongnya Tafari terus tinggal menetap di Kampung Pulau Jering. Dengan kerjasama rakan-rakan dan jiran sekampung, beliau mendirikan sebuah surau dan beliau sendiri menjadi imamnya. Di surau itulah beliau banyak menghabiskan masanya menabur bakti mengajar anak-anak membaca Al-Quran dan ilmu agama.

Sementara anak beliau yang bongsu, Khanipah bersama suaminya Ithnain bin Ahmad menetap di Kampung Bukit Tunggal, di atas tanah yang sama-sama mereka terokai iaitu tanah tapak rumah seperti yang ada pada hari ini. Demikian juga dengan anak beliau yang dua orang lagi iaitu Siti dan Simat; mereka juga tinggal menetap di Kampung Bukit Tunggal di atas tanah milik mereka sendiri.

Pada tahun 1952, ketika darurat sedang memuncak, Kampung Bukit Tunggal telah dijadikan kawasan penempatan semula (resettlement area) dan semua penduduk kampung sekitarnya diarahkan berpindah ke situ. Ini adalah strategi pemerintah untuk memerangi pengganas komunis pada masa itu. Berikutan dengan arahan tersebut, buat kali yang akhir Mustaffa berhijrah dari Kampung Pulau Jering ke No. 14, Jalan Mustaffa, Kampung Bukit Tunggal. Nama Jalan Mustaffa adalah diambil bersempana dengan nama beliau.

Jalan Mustaffa

Kami mempunyai 9 pengunjung dan tiada ahli dalam talian